Rahmat Allah
Apakah sebenarnya rahmat?
Di dalam
al-Quran, perkataan rahmat disebut sebanyak 124 kali, yang membawa maksud
sifat-sifat mengasihani, memberkati, menganugerahi.
Antaranya,
‘Dan taatlah kepada Allah dan Rasul
(Muhammad), agar kamu diberi rahmat.’
(al-Imran, 132)
‘Dan adalah kerana rahmatNya, Dia jadikan
untukmu malam dan siang, agar kamu beristirahat
pada malam hari dan agar kamu mencari sebahagian kurniaNya (pada siang hari)
dan agar kamu bersyukur kepadaNya.’ (al-Qasas, 73)
‘Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan
kembali) keluarganya dan Kami lipatgandakan
jumlah mereka, sebagai rahmat dari Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang
berfikiran sihat (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa kemalangan).’
(al-Saad, 43)
‘Apabila kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan
(rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) kerana
kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa.’ (ar-Rum, 36)
Itulah
sebahagian daripada 124 ayat yang terdapat dalam al-Quran, tentang rahmat Allah
s.w.t. Jadi kejadian siang dan malam, memberikan
keluarga kepada manusia, sesuatu yang dianugerahkan kepada manusia adalah rahmat Allah. Ini
merupakan sebahagian kecil dari begitu banyaknya rahmat Allah.
Siang dan
malam terjadi kerana matahari memancarkan cahayanya ke bumi yang sentiasa
berputar dua puluh empat jam sekali. Jadi matahari juga adalah sebahagian lagi
anugerah Allah, atau rahmat Allah. Kita
maklum, bumi dan matahari, disebut oleh ilmu Sains sebagai berada dalam satu
sistem iaitu sistem solar. Selain bumi, dalam sistem solar mempunyai enam lagi
planet yang berada dalam sistem solar, iaitu Marikh, Pluto, Jupiter, Uranus,
... Kesemuanya adalah kejadian Allah s.w.t. yang berada di atas sana.
Allah
mencipta manusia bermula daripada Adam kemudian diciptakan Hawa, diturunkan ke
bumi, lalu berkembang dan bertambah dari semasa ke semasa, dan dari bilangannya
yang semakin banyak itu terbentuk keluarga dan seterusnya terbentuk pula
kelompok-kelompok manusia di atas muka bumi ini yang berbagai-bagai bangsa,
juga adalah sebahagian daripada rahmatNya.
Dan yang
paling penting, untuk manusia, Allah menyediakan segala keperluan untuk
hidupnya. Selain dari keperluan asas tersebut, dengan rahmatNya juga disediakan
apa-apa yang menggembirakan mereka, iaitu
nikmat-nikmat kehidupan. Ini juga adalah rahmat Allah juga.
Apakah yang
menggembirakan manusia. Bolehlah diambil beberapa contoh seperti makanan,
pangkat, kemewahan, kesihatan, kuasa dan kekayaan, maka adalah rahmat juga.
Kita juga sering mendengar orang berkata, bila hujan turun, mereka akan kata
hujan itu rahmat. Pendek kata apa sahaja yang disediakan oleh Allah s.w.t.
untuk kebaikan dan kegembiraan manusia adalah rahmatNya.
Bertolak
dari contoh-contoh ini bolehlah dikatakan di sini, segala apa sahaja yang ada
di ruang angkasa sana mahu pun di bumi ini adalah rahmat Allah s.w.t. belaka.
‘Maka jika mereka mendustakan kamu,
katakanlah, Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas,
dan seksaNya kepada orang-orang yang berdosa tidak dapat dielakkan.’
(al-Anam, 147)
‘Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia
menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh
langit. Dan dia Maha Mengetahui
segala sesuatu.’ (al-Baqarah, 29)
Ayat ini
menyebut Allah menciptakan segala apa yang ada di bumi
ini untuk kita. Lihat sahaja betapa banyaknya yang disediakan untuk
kita, sama ada yang berada di muka bumi, di ruang angkasa bumi, di dalam perut
bumi, di dalam air sungai dan lautan. Sama ada yang dapat kita lihat, rasa,
bau, dengar, sentuh, malah sebahagiannya tidak dapat dikesan dengan deria-deria
tersebut, contohnya gelombang radio. Kesemuanya ini adalah rahmat Allah s.w.t.
Apakah kita
lupa betapa banyaknya rahmat Allah yang ada pada diri kita? Allah memberi kita
jasad yang lengkap dengan lima pancaindera, diberi otak yang mampu berfikir,
tidak seperti haiwan, otaknya bukan untuk berfikir. Malah terlalu banyak rahmat
Allah yang sudah kita ketahui, dan memang banyak lagi. Firman Allah,
‘Dan kalau mahu menghitung nikmat Tuhan,
nescaya tidaklah dapat kamu menghitung (seluruhnya). Dan sesungguhnya Tuhan itu
Pengampun dan Penyayang.’ (an-Nahl, 18)
Secara mudah
boleh disimpulkan di sini, apa sahaja yang ada pada tubuh badan kita, sekitaran
kita, bumi ini dan segala yang terkandung di dalamnya, termasuk juga alam di
luar sana dengan segala planet dan bintang yang ada, adalah rahmat Allah.
Semua benda diciptakan untuk kegunaan manusia
‘Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia
menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan dia Maha Mengetahui segala sesuatu.’
(al-Baqarah, 29)
Berapa
banyakkah untuk dihitung apa yang ada di bumi? Ini mencakupi segala apa yang
ada di ruang angkasa bumi, di atas muka bumi, di dalam perut bumi dan lautan.
Allah menyediakan segala-galanya untuk kita.
‘Mereka bertanya kepadamu (Muhammad), apakah
yang dihalalkan bagi mereka? Katakanlah, yang dihalalkan bagimu (adalah makanan) yang baik-baik dan (buruan
yang ditangkapnya untukmu), dan sebutlah nama Allah (waktu melepasnya). Dan
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat perhitungannya.’
(al-Maidah, 4)
Buruan di
sini ialah buruan yang ditangkap oleh binatang buas semata-mata untuk tuannya
dan tidak dimakan sedikit pun oleh binatang itu. Jadi binatang juga disediakan
untuk kita tetapi terbatas kepada yang dihalalkan sahaja.
‘Katakanlah (Muhammad), siapakah yang
mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah
disediakan untuk hamba-hambaNya dan rezeki yang
baik-baik? Katakanlah, semua itu untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan
dunia, dan khusus (untuk mereka sahaja) pada hari kiamat. Demikianlah kami
menjelaskan ayat-ayat itu untuk orang-orang yang mengetahui.’ (al-Aaraf,
32)
Perhiasan-perhiasan
dari Allah dan makanan yang baik-baik itu dapat dinikmati di dunia ini oleh
semua orang, sama ada yang beriman dan yang tidak beriman.
‘Dan haiwan
ternak telah diciptakanNya untuk kamu, padanya ada (bulu)
yang menghangatkan dan berbagai manfaat, dan sebahagiannya kamu makan. Dan kamu
memperoleh keindahan padanya, ketika kamu membawanya kembali ke kandang dan
ketika kamu melepaskannya (ke tempat penggembalaan).’ (an-Nahl, 5-6)
‘Dan Kami menciptakan besi yang mempunyai kekuatan hebat dan banyak manfaat bagi manusia,
dan agar Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasulNya
walaupun (Allah) tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa.’
(al-Hadid, 25)
Ayat ini
menyebut besi, sejenis logam yang kuat,
disediakan untuk manfaat manusia. Perkataan besi adalah sampel kepada banyak
lagi logam yang disediakan oleh Allah s.w.t. Misalnya emas, tembaga, zink, kupram, dan yang bentuk
cecair ialah logam raksa. Kesemuanya disediakan untuk kebaikan kita.
Sebahagian
logam pula kita gunakan untuk perhiasan, emas,
emas putih. Bahan-bahan ini pula memberi peluang kepada dunia perniagaan.
Apa yang
disebut dalam ayat-ayat di atas adalah untuk manusia. Dari bahan-bahan
keperluan hidup, seperti makanan termasuk yang berupa binatang buruan, dan
pakaian daripada bulu, disediakan juga bahan
untuk kegunaan peralatan seperti besi, malah Allah menyediakan juga perhiasan.
Kesemuanya ini adalah rahmatNya.
Rahmat Allah s.w.t. 100 bahagian
Pun begitu,
apa yang dapat manusia fikirkan tentang segala pemberianNya ini, yang tidak
terhitung banyaknya, adalah hanya satu daripada seratus bahagian
kesemuanya.
Sebuah hadis
oleh Bukhari dan Muslim, menyebut,
‘Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. menjadikan
rahmat sebanyak seratus bahagian. Dari satu bahagian
inilah seluruh makhluk saling kasih mengasihi
antara satu sama lain sehinggakan binatang mengangkat kaki dari anaknya takut
terpijak atau menyakiti anaknya’.
Hadis ini
menyebut makhluk. Makhluk adalah sebahagian daripada daripada rahmat Allah yang
satu bahagian itu.
Tetapi Ustaz
Saifuddin Aman pula menyebut dalam laman webnya (http://almawardiprima.co.id)
‘Allah memiliki 100 rahmat. Satu rahmat diberikan di dunia, dan 99 rahmat akan
diberikan di akhirat.’
Hadis ini pula menyebut satu rahmat diberikan di dunia. Apakah yang
dimaksudkan dengan di dunia?
Apa pun, dari kedua-dua hadis ini kita boleh membuat satu kesimpulan
bahawa segala apa yang terdapat di dunia ini adalah hanya satu bahagian
daripada seratus rahmat Allah s.w.t. RahmatNya yang satu peratus itu telah
diterjemahkan dalam bentuk apa yang ada di duniaseperti yang dapat kita lihat
sekarang ini.
Alam ini
Satu peratus
rahmat yang disebut dalam hadis di atas tadi ialah alam ini. Allah yang
menterjemahkan rahmatNya yang satu peratus ke dalam bentuk adanya alam ini.
Orang Islam, malah manusia keseluruhannya akan mengakui bahawa Allah yang
menjadikan alam ini.
‘Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada
mereka: “Siapakah yang menjadikan langit dan
bumi dan menundukkan matahari dan bulan?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”,
maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar),”
(Al-Ankabut: 61)
Sunnatullah, dan syariat Allah
Setiap
sesuatu yang ada dalam alam ini ialah makhluk Allah, sama ada yang hidup atau
tidak hidup. Manusia, haiwan, tumbuhan adalah makhluk yang hidup. Batu, tanah,
air, angin, udara, planet-planet dan sebagainya adalah tidak hidup.
Allah
menentukan peraturan untuk perjalanan hidup semua makhluk ini demi kebaikan dan
kesejahteraan. Jika setiap makhluk, baik yang hidup atau yang tidak hidup,
mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan, akan mencapai kehidupan saling kasih
mengasihi, aman sejahtera. Sebaliknya, jika tidak diikuti akan menghadapi
keributan dan kerosakan.
Peraturan
Allah terbahagi kepada dua: satu dikhususkan kepada manusia, dan satu lagi
untuk segala makhluk yang lain. Peraturan untuk manusia ialah apa yang kita
sebut sebagai syariat Allah, sementara untuk makhluk-makhluk yang lain
dipanggil sunnatullah.
Sunnatullah ialah
ketentuan Allah s.w.t. kepada alam ini. Ketentuan inilah yang menjadi alam ini
seperti adanya. Dengan ketentuanNya bumi berpusing dan membolehkannya terapung,
mengelilingi matahari, yang dengan peraturan ini menyebabkan terjadinya siang
dan malam. Bumi juga ditetapkan mempunyai daya graviti, yang dengannya
menyebabkan sesuatu akan kekal melekat ke bumi, atau apa sahaja yang
tergantung, atau kita lambung ke atas, akan jatuh ke bumi.
Allah juga
menentukan penyebab terjadinya pasang surut air laut. Ikan yang hidup di
dalamnya tidak pula menjadi masin selagi masih hidup kerana Allah telah
menetapkan begitu. Itulah antara sunnatullah.
Allah juga
yang menentukan umpamanya, sebiji batu yang diam tidak memberi sebarang
mudarat. Tetapi apabila bergerak akan memperoleh momentum, dan merbahaya kepada
apa sahaja yang berada di laluannya.
Allah juga
yang menentukan udara panas akan bergerak naik. Perbezaan suhunya pula akan
menjadi penyebab terjadinya angin, ribut dan taufan dan puting beliung.
Allah juga
menentukan bahawa setiap yang hidup akan mati. Manusia mempunyai perasaan,
manakala binatang pula mempunyai naluri, untuk menyukai jantina yang
berlawanan. Bila berlaku proses mengawan akan terjadi proses mengandung dan
beranak. Tetapi monyet tidak boleh mengandung jika mengawan dengan anjing
kerena itu adalah ketentuan Allah.
Pendek kata
apa yang telah dan yang belum ditemui oleh sains yang kemudiannya diberi simbol
sebagai hukum sains atau hukum alam, sebenarnya adalah ketentuan Allah kepada
alam ini. Inilah apa yang dipanggil sebagai nature
atau alami atau sifat semulajadi. Inilah yang akan menentukan bentuk perjalanan
alam ini.
Syariah
Allah ialah
peraturan untuk manusia. Manusia walaupun menjadi sebahagian dari alam ini,
tetapi telah diberikan peraturan yang khusus bagaimana ia berperanan sebagai
khalifah Allah.
Syariat
Allah menenttukan peraturan bagaimana caranya manusia harus menjalani kehidupan
atas muka bumi. Allah telah menentukan apa yang boleh dilakukan dan apa pula
yang dilarang. Semua peraturan ini terkandung dalam al-Quran. Lalu Rasulullah
s.a.w. diutus bagi memberi penunjuk melalui sunnahnya.
‘Dan Kami tidak mengutus engkau
(Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi
seluruh alam’. (Al-Anbiya’, 107)
Rahmat dalam ayat ini adalah membawa pengertian seperti yang tersebut
dalam satu laman web, yang menyebut,
‘Rahmat pada umumnya mengandung pengertian kasih sayang,
keadilan, dan kesejahteraan. Dengan demikian tujuan Islam adalah identik dengan
tujuan pembawanya, Muhammad s.a.w., yaitu membawa ajaran kasih sayang,
keadilan, dan kesejahteraan bagi alam semesta.’
Jadi, kasih
sayang, keadilan dan kesejahteraan adalah sebahagian daripada rahmat. Ayat
dalam surah al-Anbiya tadi menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w diutus untuk membawa
pengajaran ke arah itu.
Jika kita
rujuk kembali ayat 132 dalam surah al-Imran, ‘Dan taatlah kepada Allah dan Rasul (Muhammad), agar kamu diberi rahmat’,
menunjukkan rahmat Allah akan turun kepada orang-orang yang taat kepada
Rasulullah dengan syarat kita mengamalkan segala sunnahnya secara menyeluruh,
termasuk yang satu ini iaitu mensyukuri segala nikmat yang wujud seperti adanya
ini.
99 rahmat akhirat?
Dari 100 rahmat Allah, 99 lagi akan diberikan kepada hamba-hambanya setelah kematiannya. Inilah rahmat akhirat.
Tiada siapa tahu bagaimana rupanya rahmat akhirat kerana ianya adalah rahsia
Allah. Rahmat ini hanya akan diberikan kepada umatnya yang terpilih sahaja, dan
pengurniaannya pula setelah kita masuk syurga.
Betapa banyak lagi nikmat yang akan kita kecapi di syurga kelak. Tidak dapat
dibayangkan apakah nikmat-nikmat itu, bagaimana rupanya, layakkah kita
memperolehi kesemuanya yang 99 itu.
Sedangkan satu peratus nikmat dari rahmat Allah yang sedia ada di bumi
ini sudah tidak terhitung, inikan pula 99. Itu sebabnya kita sering diingatkan
bahawa kehidupan yang lebih bermakna adalah kehidupan di akhirat nanti. Nikmat
kehidupan di sana nanti melimpah ruah dan kekal abadi. Penghidupan di dunia ini
hanyalah sementara, umpama suatu tempat persinggahan, dan hanya dibekali dengan
sebahagian daripada satu peratus nikmat sahaja.
Kita memang memelukan rahmat Allah s.w.t. Sembahyang sahaja tidak
menjamin untuk masuk syurga. Hanya rahmatNya sahaja yang menjamin untuk itu.
Untuk mendapat rahmatNya, apakah yang harus kita lakukan selepas sembahyang?
Carilah, apa lagi yang harus kita lakukan yang berkaitan dengan sembahyang kita
agar mendapat rahmat Allah s.w.t. Wallahu-a’lam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar